KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah memperuntukkan RM672.05 juta bagi memperkukuh agenda kelestarian hijau di bawah Pelan Pembangunan SMJ 2.0.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, berkata ini termasuk usaha perlindungan biodiversiti, pemuliharaan alam sekitar dan tindak balas terhadap perubahan iklim.
Menurutnya, peruntukan itu adalah sebahagian daripada Teras J dalam Tiga Teras pelan pembangunan berkenaan, dengan komitmen mencapai 30 peratus kawasan perlindungan sepenuhnya (Total Protected Areas) menjelang 2030.
“Kita yakin pendekatan itu selari dengan prinsip agama seperti yang dinyatakan dalam Surah Al-Qasas ayat 77 yang melarang perbuatan merosakkan bumi.
“Dalam aspek kelestarian hijau ini, kerajaan memberi tumpuan kepada perlindungan biodiversiti, pemuliharaan alam sekitar dan tindak balas perubahan iklim,” katanya.
Beliau berucap pada Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Negeri Sabah (MTHQNS) 2026 di Kota Kinabalu, di sini semalam.
Hajiji berkata penganjuran MTHQNS merupakan pendekatan strategik kerajaan negeri bagi menggalakkan umat Islam menghayati dan memartabatkan al-Quran.
Beliau menambah, kerajaan komited memastikan pembangunan spiritual dan fizikal berjalan seiring bagi menjamin keseimbangan antara tuntutan duniawi dan ukhrawi.
Majlis itu turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, bersama isterinya, Toh Puan Faridah Tussin.
Menurut Hajiji, MTHQNS juga berperanan sebagai platform melahirkan qari, qariah, hafiz dan hafizah yang bukan sahaja cemerlang dalam bacaan dan hafazan, tetapi mampu menjadi contoh kepada masyarakat.
“Kerajaan akan terus memudah cara inisiatif berkaitan pendidikan agama Islam, institusi tahfiz dan program penghayatan Islam,” katanya.
