JDT umum Ajdin Mujagic sebagai senjata baharu Harimau Selatan

ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta’zim (JDT) mencuri tumpuan apabila mengumumkan penjaring terbanyak Piala FA 2025-2026, Ajdin Mujagic sebagai pemain baharu pasukan itu.

Pengumuman berkenaan dibuat menerusi satu video berdurasi 28 saat yang dimuat naik di laman Facebook rasmi JOHOR Southern Tigers hari ini, menjelang penutupan jendela perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga M) pada Ahad ini.

Dalam video tersebut, penyerang berusia 28 tahun itu dilihat menyarung jersi JDT bernombor 29, sekali gus mengesahkan perpindahannya daripada Sabah FC ke skuad Harimau Selatan.

Mujagic menjadi pemain kedua Sabah yang berhijrah ke JDT selepas Stuart Wilkin yang diumumkan lebih awal pada jendela perpindahan kali ini.

Sebagai rekod, Mujagic muncul penjaring terbanyak Piala FA 2025-2026 dengan lapan gol bersama Sabah FC, namun skuad Badak sekadar muncul naib juara selepas tewas 0-5 kepada JDT pada perlawanan akhir.