Sabah perkukuh keselamatan makanan, kurangkan import secara berperingkat – Jamawi

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah melalui Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) akan memperkukuh keselamatan makanan negeri dengan mengurangkan kebergantungan kepada import makanan secara berperingkat melalui peningkatan pengeluaran tempatan.

Menterinya, Datuk Jamawi Jaafar berkata, tumpuan strategik kementerian adalah kepada pengeluaran padi dan beras, sektor ternakan seperti lembu dan ayam, selain sayur-sayuran serta perikanan bagi menjamin kestabilan harga dan kesinambungan bekalan makanan.

Menurutnya, sektor pertanian, perikanan dan industri makanan dikenal pasti sebagai tonggak strategik pembangunan negeri yang bukan sahaja menjamin keselamatan makanan, malah memperkukuh daya tahan ekonomi serta menjana pendapatan masyarakat luar bandar.

Beliau berkata, peralihan kepada pertanian pintar, penggunaan mekanisasi serta teknologi moden perlu dipercepatkan bagi meningkatkan produktiviti dan mengurangkan kebergantungan kepada kaedah tradisional.

“Segala perancangan kementerian mesti selari dengan agenda Sabah Maju Jaya serta diperkukuh melalui kerjasama antara kerajaan negeri dan Persekutuan,” katanya ketika menyampaikan amanat pada Majlis Amanat Menteri MAFFI dan Sambutan Tahun Baharu 2026 di sini, hari ini.

Jamawi turut menegaskan kepentingan penglibatan belia dalam sektor pertanian dan perikanan dengan memposisikan bidang itu sebagai kerjaya yang berdaya maju, bermaruah dan menguntungkan.