Mangsa banjir Tenom terima bantuan RM110,850

TENOM: Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) bersama Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan menyalurkan bantuan keseluruhan RM110,850 kepada pelajar, sekolah dan institusi agama yang terjejas akibat banjir di daerah ini.

Melalui Skuad Ihsan MADANI Negeri Sabah, YAPEIM menyalurkan RM45,450 termasuk bantuan persekolahan kepada 177 pelajar serta bantuan baik pulih infrastruktur kepada tiga sekolah terjejas.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Marhamah Rosli berkata, inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen berterusan YAPEIM dalam membantu golongan terkesan bencana.

Beliau berharap sumbangan ini dapat meringankan beban mangsa serta menyokong kelangsungan pendidikan dan pembangunan komuniti setempat.