KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menyasarkan kehadiran empat juta pelancong ke negeri itu sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026), didorong oleh peningkatan konsisten jumlah pelawat serta kekuatan tarikan alam semula jadi.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata prestasi pelancongan negeri menunjukkan trend positif apabila Sabah mencatat 3.6 juta pelancong pada 2025, melepasi sasaran awal 3.5 juta seperti dilaporkan Jabatan Perangkaan Malaysia.
“Sabah memiliki kelebihan unik merangkumi keindahan laut, hutan hujan tropika dan kawasan pergunungan yang menjadi tarikan utama kepada pelancong domestik serta antarabangsa,” katanya di sini semalam.
Jafry turut memaklumkan kawasan Sukau kini mendapat pengiktirafan antarabangsa, melengkapkan status tarikan bertaraf dunia Sabah bersama Gunung Kinabalu dan Banjaran Crocker yang diiktiraf UNESCO.
Bagi menjayakan TMM2026, lima pintu masuk utama dipilih sebagai lokasi sambutan iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Lapangan Terbang Sandakan, Lapangan Terbang Tawau, Lapangan Terbang Lahad Datu dan Terminal Feri Tawau.
Menurutnya, penganjuran sambutan itu diselaras oleh Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KEPKAS) bersama agensi kerajaan negeri serta penggiat industri pelancongan.
Mengulas aspek keselamatan, Jafry berkata kerajaan negeri komited memperkemas prosedur operasi standard (SOP) dan meningkatkan kemudahan asas di kawasan tumpuan pelancong.
“Keselamatan adalah keutamaan. Kita mahu pelancong bukan sahaja menikmati keindahan alam, tetapi turut berasa selamat sepanjang berada di Sabah,” katanya.
Beliau optimis kedudukan Sabah sebagai destinasi pelancongan utama dunia akan terus menarik kedatangan pelawat sepanjang tahun, meskipun berdepan cabaran khususnya dalam sektor penerbangan.
