Tragedi Laut Nunuyan: Mayat Ditemui, Rakan Masih Dicari

SANDAKAN: Operasi mencari dua nelayan yang hilang sejak 29 November lalu menemui perkembangan baharu apabila satu mayat ditemukan di perairan Pulau Nunuyan, tengah hari tadi.

Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy Hussain berkata mayat lelaki itu dijumpai penyelam STAR Team Maritim Malaysia pada jam 12.22 tengah hari, kira-kira 8.1 batu nautika utara Pulau Nunuyan, lokasi dipercayai bot mangsa karam.

Mangsa dikenal pasti sebagai Akbar, 24, warganegara Indonesia, selepas pengecaman awal oleh keluarga. Mayat diserahkan kepada PDRM untuk pengecaman rasmi dan bedah siasat.

Sementara itu, pencarian seorang lagi kru bot, Mohd Aswal Arman, 32, masih diteruskan dalam operasi CARILAMAT yang memasuki hari kedua.

Operasi membabitkan aset Maritim Malaysia termasuk KM PERINGGI, Bot BANGGI 44, ADAL 14, selain bantuan TLDM, PPM, JBPM, APM serta pasukan penyelam.

Maritim Malaysia turut berhubung dengan konsulat Indonesia berhubung perkembangan kes.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Sandakan di 089-221923.