GRS Yakin Raih Kemenangan Besar PRU DUN Sabah – Aksyah

KOTA KINABALU: Aktivis politik pro-Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Aksyah Nasrah, yakin parti itu berada di landasan kukuh untuk meraih kemenangan besar.

Ini sekali gus mengekalkan tampuk pemerintahan Sabah pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan (PRU DU) kali ini.

Kehadiran luar biasa jentera dan penyokong GRS sejak beberapa hari lalu jelas menunjukkan kesiapsiagaan parti menghadapi pilihan raya.

Beliau berkata, walaupun beberapa kawasan dianggap sensitif atau berdepan kontroversi, ia tidak menggugat kekuatan GRS.

“Datuk Seri Panglima Hajiji Noor telah memastikan parti berada dalam keadaan paling stabil dan bersedia menghadapi sebarang cabaran,” ujarnya.

Aksyah turut melihat jumlah calon yang ramai dan pertindihan kawasan sebagai peluang kelebihan kepada GRS.

“Keadaan sesak dengan calon membuka ruang kemenangan kerana rakyat cenderung memilih parti yang konsisten membawa agenda pembangunan Sabah,” katanya, sambil menekankan bahawa beberapa pertembungan dengan rakan kerjasama PH hanyalah sebahagian proses demokrasi.

Beliau mengingatkan calon dan jentera GRS supaya tidak leka dengan momentum semasa, sebaliknya memperhebat usaha mendekati pengundi, terutama golongan muda.

“Terdapat 660,000 pengundi muda Sabah yang menjadi penentu besar kemenangan. Undi kepada GRS bermakna mempertahankan maruah negeri, kestabilan kerajaan dan pembangunan rakyat diperkasakan,” tegasnya.