KENINGAU – Pergerakan Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS) N.40 Bingkor menegaskan komitmen teguh mereka untuk terus menyokong kepimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) demi mengekalkan kestabilan politik dan memperjuangkan hak-hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Ketuanya, Harry Philippus, berkata GRS terbukti sebagai platform politik paling stabil dan berkesan dalam memperjuangkan kepentingan rakyat Sabah.
Katanya, ini hususnya di kawasan luar bandar seperti Bingkor. Katanya, kestabilan politik merupakan asas kepada pelaksanaan pembangunan yang adil dan mampan untuk rakyat.
“Tanpa kestabilan, segala dasar dan perancangan tidak dapat dijayakan dengan sempurna. GRS di bawah kepimpinan Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.
“Ketua Menteri berjaya membawa pembangunan berterusan dan memperjuangkan hak Sabah dengan lebih tersusun,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, kerjasama erat antara parti-parti komponen GRS telah membuahkan hasil jelas di peringkat akar umbi termasuk di Bingkor.
“Ini termasuk dengan pelbagai projek infrastruktur asas seperti jalan raya, bekalan air bersih, elektrik luar bandar serta kemudahan pendidikan dan kesihatan sedang giat dilaksanakan.
“Perjuangan hak Sabah di bawah MA63 bukan sekadar slogan tetapi amanah untuk memastikan masa depan generasi muda lebih makmur dan sejahtera.
“Kami akan terus bersatu dan berkhidmat demi rakyat serta kesejahteraan negeri,” katanya.
