TAWAU: Mahkamah Majistret Tawau menetapkan esok bagi sebutan kes empat pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan bekas Penyelia Bilik Peleburan Emas di Bukit Mantri, Balung, di sini.
Tertuduh, Brando Pang Tze Chiang, 50, menghadapi empat pertuduhan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFPUAA) 2001.
Majistret Don Stewin Malanjum sebelum ini membenarkan ikat jamin RM10,000 bagi setiap pertuduhan dan tiada sebarang pengakuan direkodkan.
Tertuduh diwakili peguam Vivian Tien Shin Ying manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Megat Mahathir Megat Tharih Afendi.
Kes ini berkaitan dakwaan penjualan emas secara haram dari lombong Bukit Mantri yang diuruskan Wullersdorf Resources Sdn Bhd, anak syarikat Bahvest Resources Berhad. Hasil penjualan didakwa dimasukkan ke dalam tiga akaun individu termasuk milik tertuduh.
Siasatan bermula selepas laporan polis dibuat oleh pengasas Bahvest, Datuk Lo Fui Ming yang mendakwa kerugian kira-kira RM20 juta antara tahun 2020 hingga 2022 akibat penyelewengan tersebut.
Kes disiasat oleh ASP Liew Yu Wee.
Sebutannya akan berlangsung di Mahkamah Seksyen Jenayah Tawau pada jam 8.00 pagi, Khamis
