TAMBUNAN: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah menumpaskan kegiatan penyelewengan minyak sawit selepas menahan lima individu dalam serbuan di tepi Jalan Tambunan–Kota Kinabalu, malam 23 Oktober lalu.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, ACP Mohd Nazri Ibrahim berkata, operasi dijalankan hasil maklumat dan risikan Unit Risikan Marin sekitar jam 10.30 malam.
Katanya, hasil serbuan itu, pasukan merampas tiga lori tangki, dua kenderaan pacuan empat roda serta 106,960 kilogram minyak sawit mentah yang dipercayai disimpan untuk tujuan penyelewengan.
“Anggaran keseluruhan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM3,005,127.60,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, semua suspek warga tempatan ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Peraturan-Peraturan Lembaga Minyak Sawit Malaysia 2005.
Mohd Nazri menegaskan, PPM Wilayah 4 Sabah akan terus komited membanteras aktiviti penyeludupan dan penyelewengan hasil negara, khususnya di kawasan perairan serta lokasi strategik di negeri itu.
Beliau turut menggesa orang awam menyalurkan maklumat berhubung sebarang kegiatan mencurigakan bagi membantu menjaga keselamatan dan kesejahteraan rakyat.
