Hak 40 Peratus Sabah Bukan Ihsan, Tetapi Kewajipan Perlembagaan – Azhar

KOTA KINABALU: Bendahari Agung Parti Warisan Sabah (Warisan), Azhar Matussin, menegaskan bahawa tuntutan terhadap hak 40 peratus hasil bersih Sabah bukan bersifat budi bicara atau ihsan Kerajaan Persekutuan, sebaliknya tanggungjawab perlembagaan yang mesti dilaksanakan sepenuhnya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas ucapan penerangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Dewan Rakyat pada 22 Oktober lalu, berhubung Pemberian Khas Persekutuan kepada Sabah.

Azhar berkata, walaupun Warisan menghargai pengiktirafan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berkaitan perkara itu, ucapan Perdana Menteri dilihat cuba mengalihkan tumpuan daripada kewajipan yang termaktub dalam Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.

“Ucapan itu hanya berlegar di luar pagar dan gagal mencerminkan kedudukan sebenar hak 40 peratus Sabah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Perbelanjaan Persekutuan Tidak Boleh Disamakan Dengan Hak 40 Peratus

Azhar berkata, kenyataan bahawa perbelanjaan Kerajaan Persekutuan untuk Sabah meningkat kepada RM17 bilion bagi 2025/2026 berbanding hasil kutipan RM10 bilion setahun, adalah perbandingan yang mengelirukan.

“Pemberian khas 40 peratus ialah hak perlembagaan yang wajib diserahkan terus kepada Kerajaan Negeri Sabah untuk dibelanjakan mengikut keutamaan sendiri. Ia tidak boleh disamakan dengan perbelanjaan Persekutuan yang meliputi subsidi bahan api, kos operasi agensi, dan projek pembangunan seperti Lebuhraya Pan Borneo,” katanya.

Menurut beliau, menyamakan kedua-dua perkara itu adalah cubaan untuk mengaburi mata rakyat Sabah serta mengelak daripada menentukan jumlah sebenar hak yang tertunggak sejak 1974.

Jumlah Interim RM600 Juta Belum Cerminkan Hak Sebenar

Mengulas lanjut, Azhar mengakui peningkatan Pemberian Khas Persekutuan kepada RM600 juta pada tahun 2025 sebagai langkah positif, namun menegaskan jumlah itu hanya bersifat interim dan tidak boleh dianggap sebagai pelaksanaan penuh hak 40 peratus.

“Jumlah itu sekadar peningkatan daripada kadar tetap RM26.7 juta sebelum ini, dan jelas belum memenuhi tuntutan sebenar yang dijamin dalam Perlembagaan,” katanya.

Kerajaan Persekutuan Didesak Laksana Keputusan Mahkamah

Azhar turut mengingatkan bahawa Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu telah memutuskan kegagalan Kerajaan Persekutuan menunaikan hak 40 peratus selama hampir lima dekad sebagai tidak sah, ultra vires, dan tidak rasional.

“Perdana Menteri tidak boleh sekadar menyatakan akan meneliti alasan penghakiman. Tanggungjawab sebenar ialah melaksanakan perintah mahkamah dengan segera,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa rakyat Sabah mahu keadilan dan pelaksanaan sebenar, bukan lagi sekadar janji atau retorik politik.

“Hak 40 peratus ini adalah hak perlembagaan Sabah, bukan hasil kasih sayang atau ihsan mana-mana pihak. Hanya dengan menunaikannya secara jujur dan telus, semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dapat direalisasikan sepenuhnya,” katanya.