Armizan Gagal Pertahankan Sabah, Serangan Politik Murahan Tak Alih Isu – Wira Warisan

KOTA KINABALU – Timbalan Ketua Wira Warisan Sabah, Mohammad Firdaus Diun menuduh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali gagal mempertahankan hak negeri dalam isu Akta Laut Wilayah 2012 (Akta 750).

Menurutnya, kegagalan Armizan menangani isu itu merupakan satu bentuk pengkhianatan terhadap kepentingan rakyat Sabah, kerana akta tersebut digubal tanpa persetujuan kerajaan negeri Sabah dan Sarawak.

“Akta ini mengehadkan wilayah laut negeri kepada hanya tiga batu nautika dari pesisir pantai, sekali gus mencabuli semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang mengiktiraf kuasa negeri terhadap sumber asli seperti minyak dan gas,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Firdaus mendakwa, sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal Sabah, Armizan telah gagal membawa sebarang cadangan pindaan Akta 750, gagal menuntut semula hak negeri ke atas hasil laut, serta gagal menunjukkan komitmen terbuka dan berprinsip.

“Sebaliknya, beliau lebih gemar menyerang Presiden Warisan, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal, yang selama ini konsisten memperjuangkan hak Sabah termasuk menolak Akta 750 semasa menjadi Ketua Menteri,” katanya.

Katanya, Warisan secara konsisten menolak Akta 750 kerana ia menggugat kuasa autonomi negeri dan menyebabkan hasil minyak serta gas di luar tiga batu nautika dikawal sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan.

Beliau turut mencabar Armizan menyatakan pendirian sama ada menyokong pemansuhan Akta 750 dan pemulangan kuasa kepada Sabah atau terus tunduk kepada kehendak Putrajaya.

“Rakyat mahu pemimpin berani mempertahankan hak negeri, bukan sekadar jaguh media sosial dengan serangan politik murahan,” tegasnya.

Firdaus menegaskan, Warisan akan terus komited menolak Akta Laut Wilayah dan menuntut semula hak Sabah sebagaimana termaktub dalam MA63.