TAWAU: “Saya lari sekuat hati!” Itu detik cemas seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun apabila dikejar jiran sendiri yang bersenjatakan parang dalam kejadian di Felda Umas, Kalabakan, awal pagi Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, kejadian berlaku jam 6 pagi ketika mangsa ternampak suspek, lelaki tempatan berusia 48 tahun, berjalan menghampirinya sambil menggenggam sebilah parang dalam keadaan mencurigakan.
“Takut melihat suspek, mangsa terus lari pulang ke rumah sebelum memaklumkan kepada ibunya,” katanya.
Ibunya yang bimbang keselamatan anak dan keluarga segera membuat laporan polis.
Bertindak pantas, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau menjalankan operasi khas dan berjaya menahan suspek di rumahnya sekitar jam 5.30 petang hari yang sama.
“Pemeriksaan lanjut menemui sebilah parang bersarung yang dipercayai digunakan suspek,” katanya lagi.
Lebih mengejutkan, saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis syabu, manakala semakan rekod mendapati dia pernah terbabit dalam tiga kes berkaitan dadah sebelum ini — masing-masing di Putrajaya, Bandar Baru Salak Tinggi dan Tawau.
Suspek kini direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.
PDRM dalam pada itu menegaskan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang mengancam keselamatan awam.
