KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 29 Nov ini sebagai tarikh pengundian bagi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah, manakala hari penamaan calon ditetapkan pada 15 Nov dan pengundian awal pada 25 Nov.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, keputusan itu dicapai selepas Mesyuarat Khas PRN Sabah diadakan hari ini bagi mengisi kekosongan 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.
Beliau berkata, tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding sehingga 11.59 malam, 28 Nov.
“Bagi melaksanakan PRN17, SPR melantik 25 Pegawai Pengurus Pilihan Raya dibantu 196 Penolong Pegawai Pengurus serta 33,002 petugas,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Menurut beliau, sebanyak 25 pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan rasmi undi akan digunakan, selain 940 pusat mengundi yang merangkumi 3,645 saluran termasuk 58 pusat mengundi awal.
Ramlan berkata, bagi memantau kempen pilihan raya, SPR menubuhkan 86 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) dengan keanggotaan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak berkuasa tempatan dan wakil calon.
Tambahnya, Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang digunakan dikemas kini hingga Ogos 2025 melibatkan 1,784,843 pemilih terdiri daripada 1,760,417 pengundi biasa, 11,697 anggota tentera dan pasangan, serta 12,729 anggota polis dan pasangan.
“PRN17 Sabah dijangka menelan perbelanjaan sebanyak RM116.8 juta,” katanya sambil menambah semakan maklumat pengundian boleh dibuat mulai 1 Nov melalui pautan https://mysprsemak.spr.gov.my, aplikasi MySPR Semak atau Hotline SPR di talian 03-8892 7018.
