LAHAD DATU: Seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun nyaris maut selepas ditemui tidak sedarkan diri apabila terkunci di dalam sebuah kenderaan di kawasan tempat letak kereta berhampiran, Jalan Kastam Lama, di sini, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa dikatakan tertinggal di dalam kereta jenis Isuzu Dmax yang secara tidak sengaja terkunci dari dalam.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.56 petang sebelum tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu dikejarkan ke lokasi.
“Sebaik tiba, pasukan mendapati seorang kanak-kanak perempuan tidak sedarkan diri di tempat duduk belakang kereta yang terkunci.
“Anggota bertindak memecahkan cermin kenderaan bagi menyelamatkan mangsa sebelum menyerahkannya kepada pasukan perubatan EMRS untuk dihantar ke Hospital Lahad Datu bagi rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Operasi diketuai PBK II Oma Bin Tome dan tamat sepenuhnya pada jam 4.25 petang.
