KOTA KINABALU: Rundingan pembahagian kerusi antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 perlu dilaksanakan secara praktikal dengan mengambil kira peluang kemenangan di setiap kawasan.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor merupakan Pengerusi GRS berkata perbincangan antara kedua-dua pihak yang diketuai Setiausaha Agung PH Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berjalan dengan baik dan kini hampir dimuktamadkan.
“Kita telah berbincang dengan PH baru-baru ini dan setakat ini perbincangan berjalan dengan baik. Kita akan muktamadkan agihan kerusi tidak lama lagi,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata tuntutan lebih 20 kerusi oleh PH bukan sesuatu yang luar biasa, namun semua keputusan perlu dibuat berpandukan kepada realiti politik serta kekuatan jentera di lapangan.
“Dalam mana-mana gabungan pun masing-masing akan minta lebih, tetapi kita mesti praktikal. Kawasan yang mempunyai peluang tinggi untuk menang, itulah yang perlu diutamakan,” katanya.
Menurut Hajiji, kerjasama antara GRS dan PH bukan sekadar perkongsian kuasa, sebaliknya satu bentuk tanggungjawab bersama bagi memastikan kestabilan politik dan kelangsungan pentadbiran negeri.
“Sekarang kerajaan negeri dibentuk oleh GRS dan PH, jadi kita akan teruskan kerjasama ini bagi menghadapi pilihan raya akan datang,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri akan terus memberi perhatian terhadap suara dan keperluan anak muda yang kini membentuk lebih separuh daripada jumlah pengundi di Sabah.
“Program seperti ini penting supaya mereka mengetahui hala tuju serta pencapaian kerajaan selama lima tahun ini dan tidak mudah terpengaruh dengan maklumat tidak sahih,” katanya.