STAR Sabah Tinggalkan GRS, Pilih Solo Demi Sabah!

KOTA KINABALU – Parti Solidariti Tanah Airku (STAR Sabah) menyatakan sokongan penuh terhadap keputusan presidennya, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan untuk menarik diri daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan bertanding secara solo pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) akan datang.

Ketua Penerangannya, Anuar Ghani berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira perkembangan politik semasa serta pendirian akar umbi yang menolak kerjasama dengan parti dari Semenanjung seperti Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

“Ia juga berdasarkan kenyataan Presiden STAR Sabah sebelum ini, yang menyatakan sekiranya Mesyuarat Majlis Presiden GRS memutuskan untuk meneruskan pakatan pilihan raya dengan PH dan BN atau UMNO.

“Oleh itu, STAR Sabah tidak akan bersama dan akan bergerak solo,” katanya dalam satu kenyataan pada hari ini.

Menurut Anuar, pada awalnya STAR Sabah hanya mencadangkan agar PH diberikan tujuh kerusi yang disandangnya untuk dipertahankan di bawah logo GRS sebagai kompromi.

Namun, katanya, Mesyuarat Majlis Tertinggi GRS kemudiannya dilaporkan menawarkan sehingga 21 hingga 23 kerusi kepada PH, satu tindakan yang disifatkan bertentangan dengan sentimen rakyat Sabah yang mahu kuasa politik dikekalkan di tangan parti tempatan.

“STARSABAH jelas dengan pendiriannya. Jika GRS memilih untuk bertanding solo, kami akan bersama.

“Tetapi jika GRS memilih untuk bersekongkol dengan PH dan BN, maka kami tidak akan terlibat,” tegas beliau.

Beliau menambah, keputusan untuk bergerak solo juga dibuat bagi memastikan kepimpinan negeri terus diterajui oleh parti Sabah tanpa pengaruh atau agenda politik dari luar.

“Rakyat Sabah mahukan pentadbiran negeri dikendalikan oleh parti tempatan yang memahami kehendak dan aspirasi mereka, bukan mengikut telunjuk Malaya,” katanya lagi.

Dalam masa sama, beliau menggesa penyokong STAR Sabah supaya terus berdiri teguh bersama parti dan bersedia menghadapi PRN17 demi kedaulatan politik Sabah.