SANDAKAN: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menegaskan pendiriannya untuk meneruskan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN17).
Ini meskipun UMNO dan Barisan Nasional (BN) Sabah memilih untuk membawa haluan sendiri.
Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata keputusan itu dibuat secara kolektif dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi GRS, mengambil kira komposisi kerajaan negeri yang kini dibentuk bersama PH.
“GRS telah membuat keputusan untuk mengekalkan kerjasama sedia ada dengan PH kerana itulah asas pembentukan kerajaan negeri hari ini,” katanya di sini semalam.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semalam mengesahkan bahawa UMNO Sabah tidak akan bekerjasama dengan GRS pada PRN17, sebaliknya memilih untuk kekal menjalin kerjasama dengan PH, susulan beberapa siri rundingan bersama pimpinan PH dan GRS.
Mengulas perkara itu, Hajiji menyifatkan keputusan UMNO sebagai hak mereka, namun menegaskan GRS kekal dengan pendirian sendiri.
“Itu terpulang kepada BN dan UMNO. Di pihak GRS, kita sudah pun buat keputusan – kerjasama dengan PH akan diteruskan,” tegasnya.
Menurut Hajiji, situasi politik di Sabah tidak boleh disamakan dengan negeri-negeri lain, kerana keunikannya tersendiri.
“Di Sabah, BN merupakan pembangkang walaupun di peringkat Persekutuan mereka adalah sebahagian daripada kerajaan. Ini bukan perkara baharu dalam politik Sabah – ia realiti politik yang demokrasi dan dinamik,” ujarnya.
Hajiji turut memaklumkan bahawa GRS belum memuktamadkan sepenuhnya keputusan mengenai hubungan masa depan dengan BN, dan satu pengumuman rasmi akan dibuat selepas rundingan dalaman selesai.