Tinjauan: WARISAN kekal kuasa utama berdepan pilihan raya di Sabah

KOTA KINABALU: Satu kajian pendapat awam menunjukkan Parti WARISAN (WARISAN) kekal sebagai kuasa utama dalam politik khususnya mendepani pilihan raya di Sabah menyaksikan parti itu dominan dalam semua kumpulan umur pengundi.

Pengasas merangkap Pengerusi Pertubuhan Gindol Initiative for Civil Society Borneo, Dr. Kanul Gindol dalam tinjauannya tentang sikap pengundi di negeri itu mendapati, WARISAN mengekalkan sambutan orang ramai merentas semua peringkat umur dengan sokongan antara 33 hingga 36 peratus.

Statistik tinjuan yang dijalankan oleh Pertubuhan Gindol Initiative for Civil Society Borneo.

“Pangkalan terkuatnya adalah dalam kalangan umur 50 hingga 64 (36 peratus) yang menunjukkan kesetiaan kuat dalam kalangan pengundi pertengahan umur.

“Dalam kalangan pengundi termuda (18 hingga 29), WARISAN mempunyai kemajmukan (34 peratus) dan menunjukkan daya tarikan silang generasi,” menurut tinjauan itu.

Kanul menjalankan tinjauan itu ke atas 490 rakyat Sabah daripada pelbagai latar belakang demografik di kawasan pedalaman, Pantai Barat dan Pantai Timur Sabah bermula 2 Ogos hingga 22 Ogos lalu.

Kira-kira 60 peratus responden dalam kalangan lelaki dan 120 orang bagi setiap kumpulan umur.

Dalam pada itu, tinjauan itu menyatakan, Parti kesejahteraan Demokratik Malaysia (KDM) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) merupakan pesaing baharu terutama dalam kalangan pengundi muda dan pertengahan umur.

UMNO atau Barisan Nasional (BN) pula kekal kuat dalam kalangan pengundi lama tetapi mungkin perlu memodenkan daya tarikannya, manakala Pakatan Harapan (PH) berdepan cabaran mendapatkan daya tarikan dan mungkin perlu menilai semula strateginya di negeri itu.

“KDM menunjukkan prestasi terbaik dalam kalangan umur 30 hingga 49 (20 peratus) yang menunjukkan potensi pertumbuhan dalam demografi umur bekerja. Sokongan agak stabil merentas kumpulan umur lain yang berlegar sekitar 17 hingga 20 peratus.

“UMNO/BN terkuat dalam kalangan pengundi tertua atau dalam lingkungan umur 65 ke atas (28 peratus) yang mencadangkan asas pengundi tradisionalis atau warisan.

“Ia bergelut dengan pengundi muda, terutamanya umur 30 hingga 49 (17 peratus) menyaksikan ia menduduki tempat keempat,” kata kajian itu.

Sementara itu, tinjauan sama mendapati GRS popular dalam kalangan umur 30 hingga 49 tahun menyaksikan gabungan itu memuncak pada 24 peratus yang mungkin disebabkan peranan tadbir urus atau pengaruh serantau.

Bagaimanapun, sokongannya menurun dengan ketara dalam kalangan 65 ke atas (12 peratus) yang menunjukkan daya tarikan lebih lemah dalam kalangan pengundi lebih tua.

“PH secara konsisten dengan undian terendah dengan sokongan antara 5 hingga 8 peratus. Sokongan tertingginya dalam kalangan 65 ke atas (8 peratus), tetapi kekal sebagai pemain kecil dalam landskap politik Sabah,” katanya.