TONGOD: Ledakan media sosial yang tidak terkawal disifatkan sebagai bentuk penjajahan baharu yang mampu mencetuskan perpecahan masyarakat serta melemahkan pentadbiran negara.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah, berkata kewujudan berita palsu serta penyebaran video pendek menerusi platform digital kini semakin membimbangkan kerana ia dijadikan senjata untuk menyerang kerajaan dan institusi tertentu.
“Peningkatan polemik dalam media sosial seperti TikTok, Reels, WhatsApp dan YouTube jelas dimanipulasi bagi menimbulkan fitnah dan hasutan.
“Jika tidak ditangani, ia boleh menggugat kemerdekaan yang kita kecapi hari ini,” katanya ketika merasmikan pelepasan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang di sini semalam.
Masiung yang juga Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) berkata, penghayatan terhadap sejarah kemerdekaan wajar dipupuk dalam kalangan generasi muda agar mereka sedar perjuangan yang dilalui pemimpin terdahulu.
“Malaysia telah mencapai kemerdekaan menerusi diplomasi pemimpin dahulu, berbeza dengan banyak negara lain yang masih memikul senjata untuk negara mereka.
“Namun, laungan ‘Merdeka’ tidak bermakna jika kita gagal memahami makna sebenar kebebasan yang menuntut kestabilan politik, pembangunan sosioekonomi dan perpaduan kaum,” katanya.
Menurutnya, generasi muda tidak boleh hanya melihat kemerdekaan sebagai kebebasan melaungkan slogan atau mengibarkan Jalur Gemilang semata-mata.
“Jiwa dan minda merdeka perlu dibentuk melalui jati diri yang berteraskan empat aspek utama iaitu agama, pendidikan, akhlak dan budaya,” katanya.