Rakyat wajar selami signifikan Hari Malaysia MA63 – Josely

KOTA BELUD: Rakyat Sabah diajak menyelami signifikan Hari Malaysia yang disambut pada 16 September ini, khususnya dalam konteks kebebasan beragama.

Tokoh tempatan DUN Kadamaian Josely Taising berkata, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) jelas menjamin kebebasan beragama di Sabah walaupun Islam diiktiraf sebagai agama rasmi negara.

Katanya, Sabah negeri yang unik kerana mempunyai masyarakat pelbagai etnik dan agama, justeru prinsip kebebasan beragama dan keharmonian antara penganut wajar dipertahankan.

“Sempena sambutan Hari Malaysia yang akan datang, marilah kita mengimbau dan mengenang pengorbanan pemimpin terdahulu negeri ini yang berusaha memastikan kebebasan beragama di Sabah terjamin.

“Di DUN Kadamaian sendiri, masyarakat pelbagai agama hidup aman dan damai, kita berharap keharmonian seperti ini akan terus berkekalan,” katanya dalam catatan terbaharu di media sosial.

Josely berharap sikap saling menghormati kepercayaan antara satu sama lain kekal menjadi tonggak kekuatan dan perpaduan di Sabah.

Beliau turut mengajak rakyat Sabah, khususnya di DUN Kadamaian, untuk terus bersatu padu demi kebaikan dan masa depan yang lebih baik.