PRN Sabah: Masiung tolak cadangan Anwar agar BN bentuk kerjasama dengan GRS dan PH

TONGOD : Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Masiung Banah menolak cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar Barisan Nasional (BN) turut membentuk kerjasama antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN-17).

Katanya, tidak mungkin persafahaman itu dapat dicapai berikutan ini sudah tentu akan mengelirukan pengundi.

“Ini kerana GRS dan PH sudah terlebih dahulu mencapai kata sepakat untuk meneruskan kerjasama politik.

“Jika kerjasama tiga gabungan parti itu berlaku kami berpegang pada kenyataan Perdana Menteri pada 11 Mei lalu di Tawau supaya Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor mengetuai rundingan pembahagian kerusi,” katanya di sini hari ini.

Masiung merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut berkata, pada dasarnya Gagasan Rakyat menjadi tunggak GRS sudah pasti tidak akan bersetuju cadangan Anwar supaya tiga gabungan parti itu menjalinkan hubungan  ‘cinta tiga segi’.

“GRS dan PH Sabah sudah sebati dengan kerjasama politik yang sedia wujud dalam mengurus pentadbiran Kerajaan Negeri sebelum ini.

“GRS sudah hilang kepercayaan dengan Barisan Nasional (BN) kerana pernah menghianati jalinan kerjasama bersama GRS dan PH menerusi ‘Langkah Kinabalu,’ “ jelas Masiung.

Menurutnya, sejak peristiwa Langkah Kinabalu dirancang oleh parti itu pemimpinya terus meniupkan sentimen permusuhan serta memperlekehkan GRS dengan pelbagai taktik dan strategi.

“Dalam masa sama Umno/BN Sabah juga telah mengambil keputusan untuk tidak menjalinkan kerjasama dengan GRS.

“Kami berharap Perdana Menteri menghormati pendirian kami dan mengotakan janjinya menyerahkan kepada pengerusi GRS (Hajiji) mengetuai rundingan kerusi kepada parti-parti dalam pakatan politik menjelang PRN-17,” katanya.