KOTA KINABALU : Cubaan satu sindiket menyeleweng minyak diesel bersubsidi bernilai RM45.5 juta berjaya ditumpaskan di siini awal pagi semalam.
Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah, ACP Mohd Nazri Ibrahim berkata, ini hasil kerjasama denganbeberapa agensi penguat kuasa menyerbu dua kapal di perairan Kota Kinabalu.

Katanya, operasi bersepadu itu hasil risikan dan pemantauan hampir sebulan sebelum pasukannya bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDNHEP) serta Jabatan Laut melakukan serbuan sekitar jam 4.30 pagi.
“Dalam serbuan ini, dua kapal berjaya ditahan bersama enam kru kapal warga tempatan berumur antara 25 hingga 43 tahun yang disyaki terlibat dalam kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi.
“Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua kapal membawa muatan diesel dianggarkan 250,000 liter berjumlah RM45.5 juta yang dipercayai dijual secara haram kepada kapal lain di sekitar perairan ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd Nazri berkata, turur dirampas dua kapal terbabit, beberapa peralatan serta dokumen berkaitan untuk membantu siasatan lanjut.

“Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah RM45.59 juta sekali gus menjadi antara rampasan terbesar pernah direkodkan di perairan Sabah.
“Kedua-dua kapal ini dipercayai aktif menjalankan transaksi diesel bersubsidi secara haram sejak beberapa bulan lalu dengan menjadikan perairan Kota Kinabalu sebagai lokasi utama,” jelas Mohd Nazri.
Beliau berkata, sejak awal tahun ini hingga Jun lalu, PPM Sabah telah merekodkan 119 kes penyelewengan petrol dan diesel dengan nilai rampasan lebih RM81 juta, manakala 135 individu ditahan kerana dipercayai menjadi dalang kegiatan ini.

Dalam masa sama, Mohd Nazri turut menggesa orang ramai supaya terus menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah penyeludupan dan penyelewengan bahan api bagi memastikan keselamatan perairan Sabah terjamin.