KOTA KINABALU : Parti Bersatu Sabah (PBS) masih belum mengesahkan atau menyokong mana-mana individu sebagai calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang setakat ini.
Setiausaha Agungnya, Datuk Julita Majungki berkata, sebarang kenyataan yang mendakwa PBS menyokong seseorang individu bukan datang daripada parti serta tidak mencerminkan pendirian rasmi PBS.
Katanya, setakat ini proses masih mengenal pasti serta memuktamadkan calon berpotensi masih berjalan sekali gus akan diputuskan secara kolektif oleh kepimpinan PBS.
“Segala pengumuman rasmi berkaitan pencalonan hanya akan dibuat melalui saluran yang betul dan mesti dipetik secara langsung daripada Pemangku Presiden, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam.
“Sebarang kenyataan yang dikeluarkan tanpa kuasa ini adalah tidak benar dan mengelirukan,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Julita berkata, semua bahagian dan cawangan meneruskan persiapan menghadapi PRN serta memberi tumpuan kepada memperkukuh jentera parti di peringkat akar umbi.
“Kita menggesa pihak media dan orang ramai untuk menyemak kesahihan maklumat dengan sumber rasmi parti bagi mengelakkan kekeliruan dan penyebaran maklumat tidak tepat.
“PBS bersetuju dengan kenyataan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, GRS akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dalam PRN akan datang,” jelas Julita.
Menurutnya, ini adalah berdasarkan persefahaman GRS akan kekal sebagai rakan kongsi dominan seperti yang telah dibincang dan dipersetujui dalam mesyuarat antara Pengerusi GRS bersama presiden parti komponen, termasuk Pemangku Presiden PBS.
“Kita ingin memberi penjelasan, Pemangku Presiden PBS tidak dapat menghadiri pembukaan Mesyuarat Agung Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) kerana beliau berada di Beaufort bagi merasmikan pembukaan serentak Mesyuarat Agung Tahunan lima bahagian PBS.
“Perlu ditegaskan bahawa PBS diwakili oleh pemimpin kanan termasuk Timbalan Presiden, Datuk Seri Jahid Jahim, Datuk Seri Dr. Yee Moh Chai dan saya sendiri,” katanya.