KOTA KINABALU: Ketua Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Pitas, Ramlah Nasir menyeru agar lebih ramai pemimpin wanita yang berwibawa, berani dan lantang bersuara diberi peluang menjadi calon pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) akan datang.
Menurutnya, beliau menegaskan Ketua Pergerakan Wanita Gagasan Rakyat Sabah, Datuk Redonah Bahanda adalah calon terbaik mewakili suara akar umbi wanita Gagasan Rakyat daripada 74 kawasan di seluruh Sabah.
“Usul ini sudah dikemukakan ketika membahaskan ucapan dasar Presiden dalam Persidangan Agung Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah berlangsung pada 27 Julai lalu.
“Sebagai Ketua Wanita Penyelaras Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Pitas, menyatakan sokongan padu terhadap kepimpinan Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Ramlah berkata, kepimpinan Ketua Menteri terbukti membawa perubahan ketara dalam pentadbiran negeri dan pembangunan ekonomi Sabah.
“Kita ucapkan terima kasih penghargaan atas peruntukkan kerajaan kepada Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah melaksanakan program Akademi Kepimpinan Wanita Sabah (AKWAN), di bawah Majlis Penasihat Wanita Sabah.
“Program ini berjaya melahirkan ramai pemimpin wanita dari pelbagai latar belakang seperti politik, akar umbi, belia serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC),” jelas Ramlah.
“Inilah bukti nyata bahawa di bawah kepimpinan Hajiji dan kerajaan GRS, martabat wanita Sabah telah diangkat dan diberi keutamaan,” katanya.
