Malaysa catat peningkatan pengeluaran sehingga 70 peratus – Johari

KOTA KINABALU : Industri koko Malaysia mencatat perkembangan memberangsangkan sekali gus memperlihatkan peningkatan 70 peratus dalam pengeluaran domestik biji koko kering tahun lalu.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, jumlah pengeluaran meningkat 269 tan metrik 2023 kepada 456 tan metrik tahun lalu.

Johari (tengah) bersama Ramle melawat pameran di sini semalam.

Katanya, ini adalah hasil daripada langkah pelaksanaan Program Pemulihan Kebun Koko diperkenalkan sejak awal tahun lalu.

“Sejumlah peruntukan RM9.5 juta disalurkan 2024 hingga 2026, manakala ini memberi manfaat kepada 3,296 pekebun kecil koko.

“Ini merangkumi kepada mereka yang menerima insentif pertanian termasuk baja, racun, ubat kawalan penyakit serta peralatan pertanian, melibatkan pemulihan seluas 2,126 hektar ladang koko,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Apresiasi Kecemerlangan Lembaga Koko Malaysia (LKM) 2025, di sini semalam.

Johari berkata, peningkatan harga biji koko kering dilihat melonjak sehingga 141 peratus berbanding tahun sebelumnya serta mendorong petani lebih giat mengutip hasil koko. 

“Harga pasaran meningkat daripada RM10,073 per tan pada tahun 2023 kepada RM24,274 per tan pada tahun lalu.

“Berkaitan nilai eksport produk koko dan coklat Malaysia mencatatkan peningkatan ketara sebanyak 64 peratus, daripada RM8.2 bilion pada tahun 2023 kepada RM13.5 bilion pada tahun 2024,” jelas Johari.

Menurutnya, Malaysia berjaya mengekalkan kedudukan sebagai negara pengisar koko keempat terbesar di dunia.

“Ia membabitkan jumlah pengeluaran sebanyak 383,000 tan, selepas Ivory Coast (680,000 tan), Belanda (590,000 tan) dan Jerman (460,000 tan).

“Kita menekankan kepentingan amalan pertanian dan buruh bertanggungjawab dalam memastikan industri koko negara kekal memenuhi keperluan pasaran antarabangsa,” kata Johari.

Beliau berkata, kos pengeluaran koko kini meningkat kepada RM8,492 sehektar setahun berbanding RM7,592 sehektar pada tahun 2021 dan 2022.

“Ini adalah usaha ke arah sistem penanaman berskala komersial harus diperkukuh di seluruh negara.

“Ketika ini LKM kerana berjaya menarik beberapa syarikat serta agensi perladangan untuk mengusahakan tanaman koko berskala besar, melibatkan tambahan kawasan seluas 714 hektar,” tambahnya.

Mengenai perancangan tahun ini, LKM menumpukan usaha untuk mengukuhkan rantaian bekalan koko domestik menerusi Program Galakan Tanaman Koko.

“Program lima tahun itu akan dilaksanakan dari 2025 hingga 2029 dengan peruntukan RM4 juta bagi tahun ini.

“Ini termasuk pemberian insentif anak pokok koko kepada kawasan ladang terpilih seluas 350 hektar,” ujarnya.

Dalam majlis tersebut, Johari menyampaikan anugerah kepada 90 individu serta organisasi menunjukkan kecemerlangan dalam pembangunan industri koko di negara ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin; Pengerusi LKM, Datuk Matbali Musah dan Ketua Pengarah LKM, Datuk Ramle Kasin.