Nizam ingatkan Suhaimi Nasir jangan bela individu menghina Sabah guna perkataan ‘Palui’

KOTA KINABALU : Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir seolah-olah membela kenyataan pemimpin pembangkang Semenanjung menggunakan istilah ‘palui’ terhadap rakyat serta pemimpin Sabah.

Ketua Penerangan Gagasan Rakyat Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, istilah ‘Palui’ ini bermaksud bodoh dalam bahasa tempatan sekali gus mengambarkan satu penghinaan besar kepada rakyat Sabah selama ini mengutamakan keharmonian serta budaya politik yang santun.

Katanya, kenyataan Suhaimi jelas menunjukkan sikap tidak menghormati rakyat Sabah serta jauh berbeza daripada budaya politik yang sering dijaja Perikatan Nasional (PN).

“Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, hanya mempertahankan maruah rakyat Sabah apabila beliau menempelak tindakan Datuk Seri Hamzah Zainudin.

“Amat mengecewakan apabila pemimpin termasuk Suhaimi Nasir memilih untuk membela pihak yang menghina rakyat Sabah, malah menuduh Hajiji menggunakan isu ini sebagai alat politik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nizam merupakan Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri berkata, tindakan ini bukan sahaja tidak berasas malah menunjukkan kesanggupan UMNO Sabah untuk memburuk-burukkan kerajaan meskipun terpaksa berpihak kepada BERSATU merupakan seteru politik mereka.

“Situasi ini amat janggal, dan jelas membuktikan bahawa UMNO Sabah sanggup melakukan apa sahaja demi menyerang kerajaan negeri diterajui Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Kerajaan GRS PH Plus di bawah kepimpinan Datuk Seri Panglima Hajiji Noor terus membawa pelbagai pencapaian bermakna kepada rakyat Sabah,” jelas Nizam.

Menurutnya, dalam tempoh empat tahun, pelbagai inisiatif dilaksanakan termasuk dalam sektor pendidikan melalui program BUDI, BAKTI, BAGUS, dan BAIK menyokong pelajar dari keluarga berpendapatan rendah.

“Subsidi penerbangan sebanyak RM600 seorang untuk pelajar Sabah di Semenanjung, Sarawak, dan Labuan, serta subsidi pengangkutan sebanyak RM300 seorang untuk pelajar dalam negeri, mampu meringankan beban keluarga di Sabah.

“Selain itu, inisiatif Sentuhan Kasih Rakyat memberikan bantuan sebanyak RM300 sebulan selama 12 bulan kepada keluarga miskin dan miskin tegar,” kata Nizam.

Beliau berkata, begitu juga pemberian Rumah Mesra SMJ dibina secara percuma untuk rakyat yang memerlukan sebagai satu langkah bersejarah dalam sejarah negeri ini.

“Dalam aspek pembangunan infrastruktur, kerajaan Sabah juga merangka perancangan tenaga boleh diperbaharui untuk mengatasi isu bekalan elektrik dan air dalam tempoh tiga hingga lima tahun.

“Projek seperti Empangan Hidroelektrik Ulu Padas, round off river di Tenom, gas engine di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) dan Sipitang, serta solar farm di 15 lokasi seluruh Sabah, dijangka meningkatkan kapasiti grid bekalan elektrik di Sabah,” tambah Nizam.

Selain itu, pelaksanaan loji rawatan air baharu juga akan memastikan bekalan air sentiasa mencukupi untuk memenuhi keperluan rakyat.

“Jelaslah bahawa kerajaan GRS terus komited untuk membawa kemajuan dan kesejahteraan kepada rakyat Sabah.

“Kami menyeru pemimpin seperti Suhaimi Nasir agar tidak mengutamakan permainan politik semata-mata sehingga sanggup memihak kepada pihak yang menghina rakyat Sabah,” ujar Nizam.