TUARAN : Kerajaan negeri akan terus bekerjasama dengan Persekutuan dalam melaksanakan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan prestasi bekalan elektrik di negeri ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, ia termasuk inisiatif yang dirangka berdasarkan kuasa kawal selia oleh Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) dalam Pelan Induk dan Hala Tuju Tenaga Sabah 2040 (SE-RAMP 2040).
Katanya, kuasa kawal selia bekalan elektrik Sabah diserahkan kepada kerajaan negeri, namun beliau berharap agar kerjasama di antara kedua-dua pihak tetap utuh.
“Ini penting bagi menunjukkan kesepakatan dan komitmen yang tinggi bagi memberikan kemudahan terbaik kepada rakyat.
“Antara usaha yang dilaksanakan di peringkat kerajaan negeri adalah pengecualian surcaj Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) bagi tempoh enam bulan bermula 1 Januari hingga Jun 2025,” katanya di sini semalam.
Teks disampaikan Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya Datuk Shahelmey Yahya.
Hajiji berkata, subsidi berjumlah RM50.9 juta diperuntukkan kepada pengguna domestik yang layak serta pengguna bukan domestik dalam kategori tarif voltan rendah.
Ini terdiri juga dari golongan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).
“Faktor utama masalah bekalan elektrik tidak hanya berkaitan dengan masalah kekurangan kapasiti penjanaan tetapi ditambah dengan kenaikan beban pengguna akibat pertumbuhan ekonomi yang pesat.,” jelas Hajiji.
Menurutnya, kerajaan negeri akan memberikan fokus kepada usaha memastikan Pelan Pembangunan Penjanaan jangka pendek berjaya dilaksanakan.
“Ini bagi mencapai jidar simpanan kapasiti penjanaan (generation capacity reserve margin) ke tahap 30 peratus.
“Sudah tentu ini bagi memastikan kejayaan dapat menambah baik situasi bekalan elektrik di Sabah, kata Hajiji.
