Malaysia bakal terima pelaburan jangka panjang susulan lawatan kerja Perdana Menteri ke UAE

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pelaburan jangka panjang dijangka dapat disuntik termasuk membabitkan sektor penjagaan kesihatan, pengendali lapangan terbang dan tenaga susulan lawatan kerja beliau ke Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Beliau kini berada di negara itu bagi lawatan kerja tiga hari sejak Ahad.

Menerusi satu hantaran di platform X hari ini, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata sinergi padu antara Malaysia dengan Pihak Berkuasa Pelaburan Abu Dhabi (ADIA) menjelmakan keyakinan terhadap potensi pertumbuhan ekonomi negara yang mampan dan berdaya saing.

“ADIA hadir dengan membawa bersama-sama suara rakan syarikat pelaburan global yang lain dalam meneroka pelbagai peluang pelaburan yang terhidang di Malaysia.

“Tidak mustahil, pelaburan jangka panjang dapat disuntik termasuk membabitkan sektor penjagaan kesihatan, pengendali lapangan terbang dan tenaga, Insya-Allah,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri memulakan hari kedua lawatan kerja dengan mengadakan pertemuan dengan tiga pengurusan kanan Dana Kekayaan Berdaulat negara itu di sini iaitu Pengarah Urusan ADIA Sheikh Hamed Zayed Al Nahyan, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mubadala Khaldoon Khalifa Al Mubarak dan CEO Masdar Mohamed Jameel Al Ramahi.

Jadual padat menanti Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada hari terakhir lawatan kerjanya di UAE pada hari Selasa, termasuk perjumpaan dengan Presiden UAE dan Pemerintah Abu Dhabi Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan.

Selepas perjumpaan itu Anwar dijadual menghadiri majlis perasmian Minggu Kelestarian Abu Dhabi (ADSW) 2025 di ADNEC Center di sini.

Antara pemimpin dunia yang dijangka mengambil bahagian di ADSW ialah Presiden Azerbaijan Ilham Aliyev, Presiden Kazakhstan Kassym-Jomart Tokayev, Presiden Kenya William Ruto, Presiden Nigeria Bola Ahmed Tinubu, Presiden Rwanda Paul Kagame, Presiden Seychelles Wavel Ramkalawan dan Presiden Uganda Yoweri Museveni.

Pemimpin lain termasuk Presiden Uzbekistan Shavkat Mirziyoyev, Perdana Menteri Albania Edi Rama, Perdana Menteri Finland Petteri Orpo, Perdana Menteri Itali Giorgia Meloni dan Perdana Menteri New Zealand Christopher Luxon.

Pada sidang Pleno ADSW, Perdana Menteri akan terlibat dalam dialog ‘ASEAN’s Interconnected Future: Linking Energy, Trade & Prosperity’. Ia sejajar dengan tema kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 ‘Keterangkuman dan Kemampanan’.

Anwar turut dijadual menghadiri Anugerah Hadiah Kelestarian Zayed dan forum ‘Youth 4 Sustainability’.

Hari ini juga akan menyaksikan pemeteraian Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Malaysia-UAE (CEPA), yang bertujuan membuka peluang baharu dalam perdagangan, pelaburan dan kerjasama ekonomi.

Lawatan perdana menteri ini adalah atas jemputan Naib Presiden dan Perdana Menteri UAE Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum, yang juga Pemerintah Dubai, untuk menghadiri ADSW 2025.

Anwar tiba di sini pada Ahad, dan ia adalah lawatan kedua Perdana Menteri ke UAE sejak Oktober 2023, dan lawatan pertamanya ke luar negara sejak Malaysia menjadi pengerusi ASEAN 2025.

Selepas berakhir program di ADNEC Centre, Perdana Menteri dijangka berlepas ke London, United Kingdom bagi meneruskan program rasmi beliau di negara tersebut sebagai usaha untuk meningkatkan kedudukan global Malaysia dan memperkukuhkan hubungan strategik negara dengan rakan antarabangsa utama