SEMPORNA : Sebuah objek yang ditemui di perairan Pulau Sibuan pada 7 Januari lalu, dikenal pasti sebagai bom lama atau ‘unexploded ordnance’ (UXO) peninggalan Perang Dunia Kedua.
Bom itu berjaya dimusnahkan oleh pasukan penyelam ranjau Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada jam 3.10 petang semalam.
Markas Wilayah Laut 2 (MAWILLA 2) Sandakan dalam satu kenyataan, semalam, memaklumkan bahawa pasukan penyelam ranjau dari Markas Selam dan Peperangan Periuk Api (MSPPA) Lumut bersama MAWILLA 2 diatur gerak untuk melaksanakan operasi pemusnahan bom itu sejak kelmarin.
“Bom UXO itu berjaya dimusnah menggunakan kaedah ‘Blow in Place’ (BIP), iaitu kaedah pemusnahan di lokasi penemuan, dengan mengambil langkah keselamatan tertinggi dan tiada sebarang kerosakan harta benda serta alam sekitar marin dilaporkan,” menurut kenyataan itu
Menurut kenyataan itu lagi, UXO berukuran tiga kaki panjang dan satu kaki lebar berkenaan dipercayai adalah bom peninggalan perang sekitar 1945 dengan berat mencecah 250 kilogram.
“Penyelam Ranjau TLDM mengesahkan UXO itu adalah jenis ‘Aerial Bomb’, iaitu sejenis bom dilepaskan pesawat.
“TLDM turut mendapat kerjasama agensi keselamatan, iaitu Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB2) dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna,” katanya.
