LAHAD DATU : Dianggarkan kira-kira RM14.9 juta kerugian melibatkan nilai harta dilaporkan dalam kejadian kebakaran di daerah Lahad Datu tahun lalu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, ini sekali gus menunjukkan terdapat penurunan ketara iaitu sejumlah RM46.8 juta dilaporkan pada tahun sebelumnya.
Katanya, dalam tempoh sama sejumlah RM3.7 juta jumlah taksiran kerugian akibat kes kebakaran tahun lalu sekali gus menurun kepada RM5.7 juta dilaporkan pada tahun 2023.
“Jumlah dari segi harta benda dapat diselamatkan dianggarkan sebanyak 75.24 peratus pada tahun lalu berbanding 87.94 peratus pada tahun 2023.
“Penurunan jumlah panggilan dan kerugian ini menunjukkan peningkatkan kepada tahap kesedaran masyarakat Lahad Datu berkaitan keselamatan kebakaran, jalan raya serta aktiviti air terus meningkat,” katanya secara Ekslusif kepada Sabah News Today di sini hari ini.
Sumsoa berkata, statistik ini menuniukkan kempen kesedaran awam dijalankan Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu memberi kesan positif kepada masyarakat setempat.
“Bagaimanapun terdapat satu kes kematian akibat kebakaran direkodkan pada tahun lalu berbanding tiada laporan kematian dicatatkan pada tahun 2023.
“Pada 2022 Bomba Lahad Datu merekodkan dua kematian akibat kebakaran. Bagi kes penyelamatan pula, sebanyak 13 kematian dicatatkan tahun lalu berbanding hanya tujuh kematian pada tahun 2023,” jelas Sumsoa.
Menurutnya, sehingga kini sebanyak 10 kematian direkodkan bagi kerja-kerja penyelamatan tahun 2022 sekali gus menunjukkan kes kemalangan jalan raya merupakan penyurnbang utama.
“Ini termasuk beberapa kes lain dilaporkan membabitkan kematian akibat serangan buaya yang dilaporkan berlaku di daerah Lahad Datu.
“Sehingga kini Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu merekodkan hanya tiga kes panggilan palsu pada tahun lalu berbanding satu kes berlaku tahun sebelumnya,” kata Sumsoa.
Beliau berkata, walaupun jumlah ini adalah kecil namun ia tetap menunjukkan tahap kesedaran masyarakat berkaitan kesalahan membuat panggilan palsu adalah rendah.
“Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu tetap komited dalam memperkasakan kempen kesedaran awam khususnya di daerah Lahad Datu agar jumlah kerugian dan kehilangan nyawa dapat dikurangkan lagi,” tambahnya.
