PENAMPANG : Seorang lelaki merupakan penunggang motosikal maut selepas bertembung dengan sebuah kereta di Kilometer 38 Jalan Penampang – Tambunan, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Penampang, Supt Sammy Newton berkata, mangsa berusia 20 tahun merupakan warga tempatan meninggal dunia di lokasi selepas mengalami kecederaan parah.
Katanya, siasatan awal mendapati mendapati motosikal ditunggang mangsa hilang kawalan lalu terbabas sendiri ke laluan bertentangan dalam kejadian jam 12.45 tengah hari.
“Motosikal mangsa kemudian bertembung dengan sebuah kereta yang datang dari arah Penampang.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akibat daripada kemalangan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sammy berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQEI), Kota Kinabalu untuk proses bedah siasat.
“Pemandu kereta terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan manakala kes akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Polis meminta saksi kejadian untuk tampil memberi maklumat bagi membantu siasatan dan berhubung dengan pegawai penyiasat trafik, Inspektor Saparia Ladoni di talian 019-8095133,” katanya.
