KOTA KINABALU : Kerjasama antara Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC memacu Kota Kinabalu ke arah menjadi sebuah bandar raya pintar, lestari, dan maju sekali gus yang dapat bersaing di peringkat global.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, sebagai ibu negeri Kota Kinabalu bukan sekadar pusat pentadbiran malah pusat ekonomi, pelancongan serta inovasi teknologi sekali gus menjadi kebanggaan seluruh rakyat Sabah.
Katanya, kerjasama antara DBKK dan MCMC menerusi memorandum persefahaman (MoU) dimeterai merupakan langkah besar ke arah merealisasikan visi Sabah sebagai negeri memacu pembangunan mampan melalui digitalisasi.
“Kota Kinabalu akan menjadi model bandar raya pintar yang memperlihatkan bagaimana teknologi dapat memperkasa kehidupan rakyat dan menyokong pertumbuhan ekonomi negeri.
“Melalui MoU ini, pelaksanaan beberapa projek berskala besar akan dilakukan antaranya kesalinghubungan digital yang menyeluruh, aspek keselamatan awam dan infrastruktur pintar,” katanya di sini hari ini.
Hajiji berkata, ini termasuk pemasangan kamera litar tertutup atau CCTV, digitalisasi pentadbiran serta perkhidmatan bagi menjadikan pentadbiran lebih cekap, mengurangkan birokrasi serta budaya digital dan ekonomi tanpa tunai.
“Kita yakin MoU ini adalah permulaan kepada era baharu pembangunan Sabah, dengan Kota Kinabalu akan menjadi contoh kepada bandar- bandar lain di negeri ini.
“Usaha ini bukan sahaja memberi impak kepada bandar raya, tetapi juga kepada seluruh Sabah,” jelas Hajiji.
Menurutnya, matlamat menjadikan Kota Kinabalu sebagai hab digital dan inovasi mampu membuka peluang untuk kolaborasi pelbagai sektor termasuk pelancongan, pendidikan, dan perniagaan.
“Ini akan menarik lebih banyak pelaburan asing, mencipta peluang pekerjaan, dan meningkatkan taraf hidup rakyat kita.
“Dalam konteks kerajaan negeri katanya, sebanyak RM41.75 juta diperuntukkan kepada Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi, Sabah Skills and Training Centre (SSTC),” kata Hajiji.
Dalam masa sama, ia melibatkan Sabah Creative Economy and Innovation Center bagi melaksanakan kursus penguasaan bahasa, latihan kemahiran sains, teknologi dan inovasi, pada tahun depan.
“Ini seiring dengan komitmen kerajaan negeri untuk memberi penekanan kepada agenda pendigitalan termasuk kemahiran sains, teknologi dan inovasi.
“Kerajaan negeri juga menyediakan sebanyak RM10.5 juta juga sebagai usaha pendigitalan Perkhidmatan Awam Negeri, pada tahun depan,” tambah Hajiji.
