KOTA KINABALU : Kajian kebolehlaksanaan projek Trans-Borneo Railway diluluskan untuk dilaksanakan dalam RMKe-12 membabitkan kos keseluruhan berjumlah RM 7 juta.
Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Shahelmey Yahya berkata, projek ini dibiayai sepenuhnya Kerajaan Persekutuan manakala pada masa ini, proses penilaian Juruperunding, serta penubuhan Jawatankuasa Pemandu dan Jawatankuasa Teknikal diselesaikan pada Oktober 2024 lalu.
Katanya, pihaknya dimaklumkan proses penyediaan Surat Stuju Terima (SST) sedang dilaksanakan sekali gus projek kajian ini dijangka akan dimulakan selewat-lewatya pada bulan Disember tahun ini.
Katanya, kajian kebolehlaksanaan projek Trans-Borneo Railway dijangka siap pada penguhujung tahun 2025 dilaksanakan selama 12 bulan.
“Keretapi Sabah adalah di bawah kuasa Kerajaan negeri dan perundangan Negeri berkaitan keretapi adalah di bawah Enakmen Keretapi 2017. Enakmen 2017 ini telah digubal semula bagi menggantikan Ordinan Keretapi (Bab 116) dan Enakmen 2017 itu mula berkuat kuasa pada 2 Januari 2018.
“Ini bermaksud, segala perancangan, pengurusan, operasi, penyelenggaraan dan penguatkuasaan adalah diperuntukkan di bawah Enakmen 2017 dan dikuat kuasakan oleh agensi negeri Sabah iaitu Jabatan Keretapi Negeri Sabah,” katanya.
Beliau menjawab pertanyaan lisan dalam sesi soal jawab Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin Datuk Dr. Yusof Yacob serta ADUN Dilantik, Datuk Yong Teck Lee pada persidangan Sidang DUN Sabah, di sini hari ini.
Shahelmey merupakan Menteri Kerja Raya berkata, ini adalah selaras kuasa Negeri di bawah Butiran 18, Senarai Negeri iaitu Senarai IIA – Tambahan kepada Senarai Negeri bagi Negeri Sabah dan Sarawak [Perkara 95B (1) (a)] Perlembagaan Persekutuan.
“Penglibatan Kerajaan Persekutuan dalam perojek kajian ini sememangnya dialu-alukan. Kerajaan Negeri juta melaksanakan satu kajian khusus iaitu kajian kemungkinan.
“Ini termasuk dalam reka bentuk awalan landasan keretapi dari Putatan ke KKIP dan seterusnya ke Pelabuhan Sepanggar dengan anggaran kos kajian sebanyak RM1.75 juta,” jelas Shahelmey/
Menurutnya, kajian ini dijangka bermula selewat-lewatnya bulan Mac tahun depan manakala merupakan perancangan jangka panjang untuk membangun, memoden, dan meluaskan rangkaian system keretapi di Sabah.
“Hasil kajian ini akan digunakan sebagai asas bagi perancangan program pembangunan baharu, serta sebagai asas bagi pertimbangan permohonan peruntukan bagi pelaksanaan berbentuk fizikal dalam RMKe-13 dan seterusnya.
“Perancangan jangka panjang ini perlu disusun secara berfasa, berpandukan kepada keutamaan dan sumber pembiayaan yang tersedia,” tambah Shahelmy.
