Dua individu lagi ditahan SPRM disyaki terlibat kartel penyelewengan dana penyelenggaran sekolah di Kudat

KOTA KINABALU : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan reman dua lagi individu kerana disyaki menerima rasuah membabitkan pelantikan pembekal bahan mentah untuk penyelenggaraan dan pembaikan sekolah-sekolah di sekitar Kudat bernilai kira-kira RM600,000.

Menurut sumber, suspek iaitu seorang lelaki dan seorang wanita berusia sekitar 40-an ditahan kira-kira jam 3 petang semalam ketika hadir bagi memberi keterangan di Pejabat SPRM Sabah.

Susulan penahanan itu, kesemua suspek dibawa ke Mahkamah Kota Kinabalu, Sabah pagi tadi dan perintah reman selama empat hari bermula hari ini sehingga  30 Oktober 2024 terhadap suspek dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar, Dzul Elmy Yunus.

“Suspek merupakan pegawai kanan bertugas di salah sebuah pejabat pendidikan daerah di Sabah dipercayai melakukan kegiatan ini dengan menerima sejumlah rasuah pada tahun 2023 hingga 2024 melalui kemasukan wang ke akaun bank milik proksinya.

“Suspek dipercayai menerima rasuah sebagai balasan untuk berpakat melantik beberapa pembekal dalam urusan perolehan secara pembelian terus dan sebut harga bagi pembekalan bahan mentah penyelenggaraan dan pembaikan sekolah-sekolah di daerah tersebut,” katanya.

Tangkapan ini adalah susulan penahanan seorang pemilik perniagaan  semalam kerana disyaki mengemukakan dua tuntutan palsu bernilai kira-kira RM45,000.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi  mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Baru-baru ini, Ahli Parlimen Kudat, Datuk Verdon Bahanda, mendedahkan isu kartel penyelewengan dana sekolah melibatkan Pejabat Pendidikan Daerah Kudat sewaktu ucapan perbahasan dasar Belanjawan 2025 di Parlimen dan menggesa SPRM menjalankan siasatan.