KOTA KINABALU : Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) bertindak menggantung tugas Pengurus Besarnya, Muhammad Faris Arriffin atas dakwaan kesalahan tatakelola melibatkan salah guna kewangan pertubuhan itu.
Menurut kenyataan dikeluarkan semalm, tindakan itu dilakukan di Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah NAFAS, Datuk Zamri Yaakob selaku Pengerusi bersama barisan Ahli Jemaah Pengarah NAFAS.
Katanya, ini susulan beberapa penemuan pelanggaran tatakelola terkait aktiviti kewangan NAFAS merupakan dana milik ahli dalam pergerakan itu.
“Mesyuarat Ahli Jemaah Pengarah NAFAS bil 5/2024 bersidang pada hari ini memutuskan menggantung tugas Pengurus Besar bagi membentuk satu pasukan khas menyiasat secara terperinci pelanggaran tatakelola sekali gus meneliti setiap penemuan dan laporan berkaitan perkara tersebut.
“Jemaah Pengarah NAFAS mendapati berlaku pelanggaran tatakelola yang ketara apabila terdapat penyaluran kewangan NAFAS kepada badan- badan kerajaan atau NGO yang langsung tidak berkaitan dengan pergerakan Pertubuhan Peladang.
“Ia juga adalah diluar pengetahuan Jemaah Pengarah NAFAS secara keseluruhannya,” katanya dalam kenyataan semalam.
Dalam kenyataan itu menyebut, hasil siasatan serta penemuan lanjut akan diambil tindakan wajar melibatkan peraturan dan perundangan semasa, juga melibatkan pihak berkuasa yang bertanggungjawab.
“NAFAS berfungsi sebagai sebuah pertubuhan, adalah bergerak bersandarkan saham serta modal ahli melibatkan Pertubuhan Peladang Negeri (PPN), Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan ahli individu.
“Atas teras pergerakan tersebut yang dipanggil Pergerakan Pertubuhan Peladang (PP) setiap urusan perbelanjaan dan kewangan mesti mengutamakan perjalanan Pertubuhan,” katanya.
Menurutnya, NAFAS sebagai sebuah pertubuhan mengambil berat setiap saranan kerajaan berkaitan pemantapan tatakelola dan agenda reformasi dibawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Kerajaan Perpaduan bagi membentuk Malaysia Madani.
“Oleh itu NAFAS akan bertindak tegas atas setiap kepincangan tatakelola yang boleh mengganggu gugat agenda kerajaan untuk mencapai matlamatnya,” tambahnya.
