LABUAN : Pulau Labuan dicadangkan dijadikan sebagai lokasi Pusat Pangkalan Udara Unit Bomba bagi Zon Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman berkata, dalam tempoh terdekat beliau akan mengemukakan cadangan ini melalui permohonan rasmi secara bertulis kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mendapatkan kelulusan.
Katanya, langkah ini untuk mendapatkan pertimbangan kelulusan sebagai usaha untuk memantapkan kepentingan Labuan dan Sabah dalam menangani kes kes kebakaran memerlukan khidmat udara.
“Labuan merupakan kawasan paling sesuai berikutan Jabatan Bomba dan Penyelamat Labuan (JBPM) kini memiliki kemudahan diperlukan termasuk mempunyai tanah yang boleh dibangunkan sebagai kawasan lokasi pendaratan helikopter Bomba Udara.
“Cadangan ini sudah tentu akan menjimatkan kos kerajaan terutamanya dalam mendapatkan kawasan tanah serta beberapa kemudahan yang diperlukan untuk merealisasikan cadangan berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Keselamatan Kebakaran dan Keselamatan Aktiviti di Air Serta Kawad Kecekapan ERT di Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan, di sini semalam.
Suhaili berkata, beliau yakin cadang ini akan mendapat kelulusan memandangkan kawasan Labuan bersesuaian dibangunkan sebagai Pangkalan unit Udara Bomba untuk menjaga kepentingan Labuan dan negeri Sabah sekali gus dapat direalisasikan dalam tempoh terdekat.
“Labuan mempunyai lokasi yang sangat strategik memandangkan kawasannya diliputi dengan kepadatan industri minyak dan gas.
“Kerja-kerja kepantasan pihak bomba diperlukan khususnya dalam kerja-kerja serta aktiviti menyelamat kebakaran terutama di kawasan industri serta di laut,” jelas Suhaili.
Menututnya, ketika ini kawasan perairan Laut Labuan dipenuhi dengan kapal-kapal minyak yang berlabuh manakala kawasan daratannya dengan pelbagai syarikat industri minyak serta gas yang beroperasi dikawasan ini.
“Bayangkan jika berlaku suatu kebakaran, ini adalah merupakan antara faktor mengapa Labuan memerlukan sebuah Pangkalan Unit Bomba Udara yang serba lengkap bagi menghadapi sebarang kemungkinan yang boleh berlaku,” kata Suhaili.
Dalam perkembangan sama, beliau mengumumkan peruntukan berjumlah RM10,000 kepada setiap pasukan Bomba Sukarela bagi kawasan perkampungan atas air di Labuan.
Ini termasuk kampung Patau Patau Satu, Patau-Patau Dua, Bebuloh Laut dan Rancha Rancha Laut untuk membantu pasukan bomba melaksanakan aktiviti keselamatan serta kesedaran ketika berlaku kebakaran di kawasan tersebut.
Antara aktiviti dilaksanakan pada hari tersebut termasuk, demontrasi menyelamat mangsa kebakaran di kawasan air mengunakan khidmat Bomba Udara di Pangkalan Unit Bomba Udara Miri Sarawak.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Labuan, Abdul Rahman Ali dan Komander Pangkalan Udara Wilayah Sarawak, Sofian Ahmed.
