TABS SAFA Kota Kinabalu hantar empat pasukan sertai saingan Piala BFC Terbuka di Kota Marudu

KOTA KINABALU: TABS SAFA Bandaraya akan menghantar empat pasukan termasuk dua pasukan B10 dan dua pasukan B8 ke Kejohanan Bola Sepak Piala BFC Terbuka 2024 di padang pekan lama Kota Marudu Sabtu ini.

Kejohanan sehari itu anjuran Base Football Club.

Timbalan Pengerusi TABS SAFA Bandaraya, Lokman Sunggim, berkata, kejohanan itu merupakan yang kedua disertai TABS tahun ini selepas Kejohanan Piala Sanquick dan Fatos Sport di Penampang baru-baru ini.

Jurulatih Suryadi membimbing pemain-pemain B8 dalam satu sesi latihan.

Katanya, pasukan TABS akan melakukan yang terbaik dalam kejohanan itu sebagaimana ia telah menjuarai kedua-dua kategori itu dalam Kejohanan Piala Sanquick dan Fatos Sport itu.

“Kita sudah diberi taklimat oleh jurulatih Suryadi Haji Sarman mengenai Kejohanan Piala BFC dan kita menjangka boleh mengulangi kejayaan serupa di sana nanti,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Menurut beliau, Suryadi akan mengetuai rombongan pasukan ke Kota Marudu dengan dibantu tiga jurulatih lain.

Beliau berkata, pihaknya yakin bahawa pasukan TABS akan menunjukkan prestasi baik memandangkan pemain-pemain telah menjalani latihan persediaan sejak beberapa hari lalu.

Mengenai sesi latihan hujung minggu pelatih-pelatih TABS, Lokman memberitahu, ia akan diteruskan dalam masa dua minggu lagi sebelum cuti rehat sempena bulan Ramadan nanti.

“Kita akan berehat selama sebulan dan elatih-pelatih akan meneruskan sesi latihan selepas perayaan Hari Raya Aidilfitri,” kata Lokman.