SANDAKAN : Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee mencadangkan agar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membina kampus Kolej Tingkatan 6 Datuk Pengiran Galpam (KTEDPG) di tapak baharu.
Menurutnya, KTEDPG yang di tempatkan di bangunan bekas Maktab Perguruan Sandakan mempunyai ruang terhad yang mana ketika ini hanya menampung 660 bilangan pelajar Tingkatan 6 dan juga 100 guru.
Katanya, ketika ini tapak sekolah tersebut masih belum mempunyai bumbung perhimpunan selain tandas yang terlalu usang.
Beliau menyatakan perkara itu kepada Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying semasa Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Parlimen Ke-15 Dewan Rakyat.
Dalam jawapannya, Hui Ying berkata ketika ini KTEPDG mempunyai 42 bilik darjah dan 32 daripadanya telah digunakan untuk menempatkan bilangan murid yang ada.
Tambahnya, sekiranya terdapat keperluan untuk pembukaan kelas baharu, KTEDPG masih berupaya beroperasi dengan 10 kelas Tingkatan 6 mampu menampung sejumlah 250 orang pelajar.
Selain daripada KTEDPG, terdapat tujuh kolej atau pusat Tingkatan 6 lain di bawah pentadbiran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sandakan.
Antaranya, SMK Elopura, SMK Batu Sapi, SMK Muhibbah, SMK Segaliud, SMK Elopura II, SMK Sandakan II, SMK Agama Tun Juhar, Sandakan.
Sehubungan itu, Hui Ying berkata KPM berpandangan pada masa ini tiada keperluan untuk mewujudkan KTE baharu bagi menggantikan KTE sedia ada di Sandakan.
Katanya, sebagai perancangan jangka panjang, peluasan KTE akan diteruskan dari semasa ke semasa dengan mengambil kira permintaan keperluan serta kelestarian pengoperasian pendidikan Tingkatan 6.
Disamping itu, KPM telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM200,000 kepada KTE tersebut pada 4 Oktober 2023 melalui Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah bagi kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan blok pengajaran dan pembelajaran, pendawaian elektrik serta lain-lain penyelenggaraan kecil.
Vivian mengucapkan terima kasih kepada KPM yang telah meluluskan peruntukan itu bagi kerja-kerja menyelenggara di KTEDPG Sandakan.
Beliau juga berjanji akan terus memaklumkan perkembangan keperluan semasa KTEDPG kepada kementerian bagi perancangan dan tindakan yang sewajarnya.
Ini kerana KTEDPG adalah salah satu institusi pendidikan penting yang menawarkan pengajian STPM di Sandakan.
