Bersatu gantung keahlian Ahli Parlimen Labuan

KOTA KINABALU: Jawatankuasa Lembaga Disiplin Bersatu menggantung keanggotaan Ahli Parlimen Labuan Datuk Seri Dr Suhali Abdul Rahman, yang  menyatakan sokongannya kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin mengesahkan perkara itu dalam satu kenyataan akhbar ringkas malam ini.

Hamzah berkata keputusan itu dibuat selepas jawatankuasa berkenaan bersidang hari ini.

“Setelah diteliti dengan sehalusnya segala bukti dokumentasi, keseriusan kesalahan, implikasi serta impak kepada parti dan juga kenyataan media daripada Dr Suhaili bertarikh 30 Okt 2023, Jawatankuasa Lembaga Disiplin mendapati beliau bersalah di bawah Fasal 22.1 (f) Perlembagaan Bersatu.

“Sehubungan itu, Jawatankuasa Lembaga Disiplin sebulat suara menggunakan kuasa di bawah Fasal 22.5 (c) Perlembagaan Bersatu bagi menggantung keahlian Suhaili, berserta kesemua jawatan dalam parti yang dipegang beliau untuk tempoh enam tahun berkuat kuasa dari tarikh keputusan dan hukuman, iaitu 7 November 2023,” katanya.

Pada Khamis (2 Nov), Hamzah mengumumkan bahawa majlis tertinggi Bersatu telah melantik naib presiden Datuk Dr Radzi Jidin sebagai ketua Bersatu Wilayah Persekutuan yang baru dan ketua bahagian Labuan, menggantikan Suhaili.