200 pelajar sertai program wacana kefahaman Malaysia Madani

KOTA KINABALU : Lebih 200 orang pelajar Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) dan Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) sekitar Kota Kinabalu menyertai Program Wacana Kefahaman Malaysia Madani di kampus University College Sabah Foundation (UCSF), Sembulan.

Program itu dianjurkan Badan Kebajikan Islam Kumpulan Yayasan Sabah dan YADIM dengan kerjasama University College Sabah Foundation (UCSF) dan Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS).

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Senator Dr. Zulkifli Hassan dalam ucaptamanya memberi pencerahan berkenaan Malaysia Madani dan menerangkan kedudukan Malaysia pada ketika ini serta aspirasi negara dalam mendepani pelbagai cabaran dalam negeri dan global.

Antara lain ucapannya menekankan bahawa Malaysia Madani merupakan gagasan pemikiran yang diinspirasikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang perlu didokong bersama oleh rakyat negara ini.

Sementara itu, Ketua Penyelaras Zon Pentadbiran Kumpulan Yayasan Sabah, Zulkhairi Ismail dalam ucapannya berkata, pendekatan bersifat “discourse” seumpama apa yang terlaksana melalui penganjuran program tersebut mendekatkan secara langsung para mahasiswa kepada kaedah mengurus selia negara bangsa dengan konsep madani secara “realtime”.

“Melalui pencerahan yang dikongsikan oleh Senator Dr Zulkifli Hasan, ini membuka ruang baru dalam penglibatan mahasiswa selain pengkuliahan formal dalam kelas”, katanya.

Dalam pada itu, Naib Canselor UCSF,  Datuk Dr Rafiq Idris berkata, Dr Zulkifli memberi penerangan yang jelas mengenai Malaysia Madani dan bagaimana Malaysia Madani memberi impak kepada ekonomi, masyarakat serta pentadbiran negara.

“Saya percaya, Malaysia Madani jika dapat dilaksanakan sepenuhnya, ianya berupaya mewujudkan ekonomi dan masyarakat yang sejahtera, inklusif, berkebajikan serta kerajaan dengan tatakelola yang mantap”, katanya.

Hadir sama di majlis itu ialah  Pengarah YADIM Sabah, Mohd Tabi’in bin Sahri, Pengarah YAPEIM, Wakil BAKIYS, Salim Japaran dan pemimpin serta ahli pelbagai Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).