Keluar masuk parti demi untuk rakyat – Hamzah Zainuddin

KUALA LUMPUR: Perancangan atau strategi tertentu berhubung tindakan keluar masuk parti dibuat demi kepentingan rakyat di negara ini.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, perkara itu bukan sahaja berlaku di peringkat bawahan, malah turut membabitkan pimpinan tertinggi parti.

Katanya, tindakan keluar masuk parti disifatkan sebagai perkara biasa dan berlaku sejak dahulu lagi.

“Isu meninggalkan parti berlaku bukan sahaja di peringkat bawah tetapi dalam kalangan kepimpinan parti termasuk Dr Mahathir Mohamad turut berbuat demikian.

“Ia menunjukkan agenda utama adalah untuk kepentingan rakyat, bukan individu,” katanya menurut laporan Sinar Harian.

Pada Ahad, bekas menteri yang melompat daripada Warisan kepada Bersatu, Mohamaddin Ketapi berkata, setiap individu mempunyai hak kebebasan bersuara dan memilih seperti di negara maju.

“Wakil rakyat ini berhijrah ke parti lain untuk memperkembang dan menyelesaikan masalah rakyat, tapi kalau pemimpin macam kita ini melompat demi rakyat…kalau di negara lain ini bercakap tentang hak kebebasan dan sebagainya, kita di Malaysia ini pun bercakap pasal hak kebebasan dan sebagainya,” katanya.

Sebelum ini, ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Md Alwi Che Ahmad, menganggap mereka yang meninggalkan parti itu suatu ketika dahulu mempunyai alasan dan sebab tersendiri.

Alwi berkata, Umno tidak boleh berdendam terhadap mereka yang pernah keluar parti, sebaliknya perlu bersikap terbuka dan memaafkan kekhilafan individu tersebut.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata, apa sahaja yang sudah berlaku dalam tiga tahun lalu, iaitu selepas pilihan raya umum sudah pun terjadi.

“Ada yang berlaku dengan perancangan dan ada yang berlaku kerana strategi tertentu tetapi semuanya untuk kepentingan rakyat.

“Saya sendiri tidak pernah keluarkan kenyataan untuk membabitkan sesiapa, yang penting kerajaan ketika ini adalah kerajaan stabil yang mampu memastikan agenda kerajaan dilakukan dengan terbaik, juga supaya rakyat tidak hidup kegelisahan dalam keadaan kepemimpinan yang terumbang ambing,” katanya.