KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah melalui Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar mempergiat pelbagai strategi bagi memastikan industri pelancongan negeri kekal berdaya tahan susulan peningkatan kos pengangkutan udara akibat konflik global.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Ariffin berkata, kenaikan kos bahan api serta gangguan rantaian penerbangan berpotensi memberi kesan langsung kepada ketibaan pelancong antarabangsa, termasuk perubahan laluan dan pengurangan kekerapan penerbangan.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Tanjong, Justin Wong Yung Bin pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Undangan Negeri, hari ini.
Menurutnya, antara implikasi yang dikenal pasti termasuk peningkatan tambang penerbangan, penurunan sentimen perjalanan serta kemungkinan pembatalan atau penangguhan perjalanan oleh pelancong dari pasaran utama.
“Bagi memastikan kelangsungan industri, kementerian memberi tumpuan kepada pengukuhan pasaran domestik dan serantau sebagai langkah mitigasi terhadap ketidaktentuan pasaran jarak jauh,” katanya.
Tambahnya, kementerian turut memberi fokus kepada pasaran Asia Utara seperti China, Korea Selatan dan Jepun serta negara Asia Tenggara yang kurang terkesan oleh gangguan global.
“Selain itu, Sabah dipromosikan sebagai destinasi pelancongan premium bagi menarik pelancong berkualiti tinggi yang mempunyai daya perbelanjaan lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata, Lembaga Pelancongan Sabah juga telah mengadakan beberapa sesi libat urus bersama pemain industri termasuk syarikat penerbangan dan pengusaha pelancongan bagi menyelaras strategi serta meningkatkan daya tahan sektor pelancongan negeri.
