LABUAN: Jabatan Penyiaran Malaysia Wilayah Persekutuan Labuan menggariskan pendekatan “penyiaran pintar” sebagai fokus utama tahun 2026, termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi penyiaran.
Timbalan Pengarahnya, Howard Martin Kim Sung @ Cornelius berkata, langkah itu bertujuan memastikan kandungan kekal relevan dalam landskap media yang semakin berubah dan berdaya saing.
Beliau berkata, AI akan diintegrasikan dalam proses suntingan dan analisis data bagi meningkatkan kecekapan serta memastikan penyampaian maklumat yang lebih tepat dan pantas.
Selain itu, RTM Labuan turut memberi penekanan kepada penghasilan kandungan tempatan berimpak global dengan memperkukuh naratif tempatan agar mampu menembusi pasaran antarabangsa.
Dalam masa sama, beliau menegaskan kepentingan integriti kewartawanan dalam memastikan RTM terus menjadi sumber rujukan utama yang dipercayai, khususnya dalam menghadapi cabaran penyebaran berita palsu.
