KOTA KINABALU: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud menegaskan bahawa penangguhan berkaitan tuntutan 40 peratus hasil Sabah bukan bermaksud menafikan hak negeri itu.
Beliau berkata, penangguhan tersebut bertujuan memberi ruang kepada kedua-dua pihak untuk memperincikan data yang diperlukan sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.
“Ini bukan menidakkan hak 40 peratus. Kita tidak merayu untuk hak itu, tetapi memerlukan sedikit masa untuk memperincikan data yang terlibat,” katanya pada sidang media sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri Parlimen Sepanggar di sini malam ini.
Menurut beliau, proses pengumpulan data melibatkan tempoh panjang sejak 1974, sekali gus memerlukan kerjasama rapat antara Kementerian Kewangan dan kerajaan negeri.
“Bayangkan kita perlu menyemak data sejak 1974 hingga kini. Jadi penangguhan ini penting bagi memastikan semua maklumat adalah tepat,” katanya.
Mustapha turut memberi jaminan bahawa beliau akan memainkan peranan menyelaras antara kerajaan negeri dan Persekutuan bagi memastikan rundingan berjalan lancar.
Beliau berkata, pertemuan bersama Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun akan diadakan bagi membincangkan perkara tersebut secara lanjut.
“Penangguhan ini memberi masa mencukupi kepada kedua-dua pihak untuk membentangkan fakta yang tepat supaya keputusan yang dibuat tidak tergesa-gesa,” katanya.
Tambah beliau, kementeriannya akan terus menyelaras perbincangan melalui platform teknikal dan Jawatankuasa Induk MA63 yang dipengerusikan Perdana Menteri.
