19 PATI dihantar pulang, jumlah keseluruhan kini 1,764 orang

KOTA KINABALU: Seramai 19 pendatang asing tanpa izin (PATI) dihantar pulang ke negara asal melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu hari ini.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Sabah, Sh Sitti Saleha Habib Yusof berkata, semua individu terbabit telah selesai menjalani proses perundangan serta verifikasi dokumen perjalanan oleh kedutaan masing-masing.

Beliau berkata, kumpulan itu terdiri daripada 13 lelaki dewasa, lima wanita dewasa dan seorang kanak-kanak lelaki, melibatkan warganegara Filipina, Pakistan dan Vietnam.

Katanya, kos pemindahan ditanggung sendiri oleh tahanan.

Setakat ini, seramai 1,764 PATI telah dihantar pulang ke negara asal, dengan Filipina mencatatkan peratusan tertinggi sebanyak 56%, diikuti Indonesia 36% dan lain-lain 8%.

JIM Sabah turut mengingatkan orang ramai agar tidak melindungi atau menggaji PATI serta menyalurkan maklumat melalui saluran rasmi.