Peniaga dikompaun tak letak tanda harga merah jambu

LABUAN: Seorang peniaga hasil pertanian di pinggir Wilayah Persekutuan Labuan dikenakan kompaun selepas gagal mempamerkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina 2026, semalam.

Kesalahan itu dikesan dalam pemeriksaan harian yang dijalankan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Labuan pada 18 Februari lalu di premis perniagaan sekitar kawasan luar bandar.

Menurut sumber, peniaga terbabit didapati menjual bawang putih yang termasuk dalam senarai barangan harga terkawal tanpa meletakkan tanda harga khas berwarna merah jambu seperti diwajibkan sepanjang tempoh pelaksanaan skim berkenaan.

“Peniaga mengakui kesalahan dan kompaun dikeluarkan di lokasi pemeriksaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Perbuatan itu adalah kesalahan di bawah Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Barangan Harga Terkawal) yang dikuatkuasakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Jika sabit kesalahan, individu boleh didenda sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000, manakala syarikat atau pertubuhan boleh didenda sehingga RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000.

KPDN memberi amaran akan terus memperhebat pemeriksaan bagi memastikan semua peniaga mematuhi peraturan ditetapkan demi melindungi pengguna sepanjang musim perayaan.