Setiausaha Agungnya, Suman Yasambun, berkata tuduhan berkenaan adalah tidak benar serta tidak menggambarkan kedudukan sebenar status tanah terbabit.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas perhimpunan aman pada Selasa yang mempertikaikan permohonan tanah di Kampung Minintod serta kawasan berhampiran termasuk Kampung Bantayan dan Kampung Sukang Mabpai.
Menurutnya, tanah yang dipersoalkan masih berstatus Rizab Veterinar Sabah untuk kegunaan jabatan berkaitan dan bukannya Rizab Perkampungan Orang Asal seperti didakwa pihak tertentu.
“Dakwaan berlakunya penindasan atau rampasan tanah adat adalah tidak berasas. Kawasan itu masih digazetkan sebagai Rizab Veterinar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata menerusi Resolusi Pemegang Amanah Resab Natif P.9114 bertarikh 12 Mac 1988, KDCA dibenarkan menduduki dan menggunakan sebahagian kawasan seluas 30 ekar, tertakluk kepada penyukatan rasmi.
Katanya, resolusi itu ditandatangani ketua kampung terlibat ketika itu sebagai tanda persetujuan merujuk cadangan berkenaan kepada kerajaan negeri untuk pertimbangan.
Pada 14 Mei 1994, Mesyuarat Lembaga Pemegang Amanah Koisaan di Hongkod Koisaan meluluskan penerimaan tawaran tanah berkenaan kepada KDCA, dengan resolusi disaksikan wakil rakyat dan pemimpin masyarakat setempat.
Suman berkata, susulan persefahaman dicapai pada 1988, KDCA mengemukakan permohonan rasmi kepada kerajaan negeri termasuk mendapatkan pertimbangan Ketua Menteri serta mengemukakan justifikasi berhubung keperluan kawasan berkenaan.
Beliau berkata, kerajaan negeri memberikan maklum balas positif terhadap permohonan itu, namun tertakluk kepada ulasan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah yang sehingga kini belum mengeluarkan maklum balas rasmi.
“Status tanah kekal sebagai Rizab Veterinar dan proses permohonan melalui saluran rasmi sejak 1988. Kini kita menunggu maklum balas jabatan berkenaan sebelum tindakan lanjut oleh Jabatan Tanah dan Ukur Sabah,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa pihak yang mahukan penjelasan supaya tidak mengadakan demonstrasi, sebaliknya hadir berbincang dan meneliti dokumen rasmi.
Katanya, KDCA akan memanggil tiga ketua kampung terbabit untuk satu pertemuan pada 20 Februari ini bagi memberi penjelasan berdasarkan rekod rasmi serta mengelakkan salah faham berterusan.
