Tawau Camping Festival 3.0 rangsang pelancongan, ekonomi komuniti dan belia

TAWAU: Tawau Camping Festival 3.0 berpotensi menjadi pemangkin kepada pembangunan pelancongan, penjanaan ekonomi komuniti dan pemerkasaan belia di daerah ini.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, program anjuran Persatuan Komuniti Perkemahan Tawau menunjukkan peningkatan penyertaan ketara berbanding penganjuran tahun lalu.

Menurut beliau, aktiviti perkemahan yang menggabungkan elemen cabaran dan alam semula jadi bukan sahaja membentuk sahsiah belia, malah membuka peluang ekonomi kepada komuniti setempat khususnya di kawasan Batu Payung yang dikenal pasti sebagai zon pelancongan.

“Penganjuran program seperti ini mampu menarik lebih ramai pengunjung dari luar untuk mengenali Tawau dengan lebih dekat sekali gus memberi manfaat ekonomi kepada masyarakat setempat,” katanya selepas merasmikan Tawau Camping Festival 3.0 anjuran Tawau Camping, Tactical and Glamping Community (TACTICS) di Batu Payung.

Festival edisi ketiga itu merekodkan penyertaan 84 khemah berbanding 30 pada tahun lalu, selain menarik peserta dari Lahad Datu, Semporna, Kota Kinabalu dan Indonesia.

Datuk Nizam berkata, program seumpama itu wajar diperluaskan ke lokasi berpotensi lain di Tawau seperti Tinagat, Taman Perpaduan NABT Batu Payung Apas, InderaSabah dan Taman Bukit Tawau, tertakluk kepada kelulusan jabatan berkaitan.

Beliau turut menegaskan semua aktiviti pelancongan dan rekreasi perlu mematuhi garis panduan serta mendapat kebenaran pihak berkuasa tempatan dan polis bagi menjamin keselamatan peserta.

Selain itu, beliau menyentuh kepentingan mempercepatkan pembangunan Kompleks CIQ Tawau–Simanggaris bagi memperkukuh hubungan Malaysia–Indonesia serta meningkatkan kemasukan pelancong melalui laluan darat, selain mengekang aktiviti penyeludupan dan kemasukan secara tidak sah.