RM15 Juta Untuk Dapur Siswa MADANI, UMS Sambut Baik Inisiatif Kerajaan

KOTA KINABALU:  Pengumuman peruntukan RM15 juta oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi pelaksanaan inisiatif makanan percuma dan bank makanan dikenali sebagai Dapur Siswa MADANI disambut baik oleh pihak Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Malaysia Sabah, Prof Dr Raman Noordin, berkata peruntukan tersebut mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan mahasiswa, khususnya dalam menangani isu ketidakjaminan makanan.

Menurut beliau, inisiatif yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan diperluaskan ke seluruh institusi pengajian tinggi adalah langkah tepat bagi memastikan pelajar dapat menumpukan perhatian kepada pengajian tanpa dibebani masalah keperluan asas.

“UMS telah mengambil langkah awal dengan menubuhkan Dapur Siswa di dua kolej kediaman di kampus induk Kota Kinabalu yang mula beroperasi pada 24 November 2025,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, sebuah lagi Dapur Siswa di Kolej Kediaman UMS Kampus Antarabangsa Labuan kini dalam pembinaan dan dijangka siap pada Februari 2026, manakala peluasan inisiatif sama ke Fakulti Pertanian Lestari di Sandakan turut dirancang.

Bagi memastikan kelangsungan operasi, UMS turut melaksanakan beberapa inisiatif sokongan termasuk Kempen 1 Staf 1 Kampit Beras serta penubuhan Tabung Amanah Dapur Siswa, yang menggalakkan penyertaan warga universiti dan masyarakat setempat.

Menurut Raman, setakat ini sebanyak 1,150 kilogram beras telah dikumpulkan dan dimanfaatkan oleh kira-kira 3,500 pelajar, dengan lebih 70 peratus mahasiswa UMS terdiri daripada golongan B40.

Beliau berkata, peruntukan khas yang disalurkan melalui KPT dijangka membolehkan lebih ramai pelajar menerima bantuan, selain memperkukuh operasi Dapur Siswa sedia ada.

Raman turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Pendidikan Tinggi atas usaha mendapatkan peruntukan tersebut, sambil menegaskan komitmen universiti untuk terus bekerjasama dengan kementerian dan pihak berkepentingan bagi memastikan kebajikan mahasiswa terpelihara sepanjang tempoh pengajian.